Saturday, October 12, 2013

Mahasiswa Terajui Ideal Community


Mahasiswa Terajui ‘Ideal Commuity

            Pada hari ini generasi muda mengalami proses drastik dalam kematangan berfikir apabila berlakunya gelombang tsunami Pilihanraya Umum ke-12 tahun 2008. Kebangkitan kaum muda ini juga dikatakan selari dengan kebangkitan rakyat yang inginkan ketelusan dalam pemerintahan dan akauntabiliti kepada tanggungjawab yang diamanahkan oleh mereka. Slogan ‘kedaulatan rakyat’ telah kedengaran. ‘Suara orang muda’ dan ‘hak mahasiswa’ begitu bersemangat dilaungkan. Fenomena ini sesuai dirujuk dengan pembangunan intelektual masyarakat yang bertamadun dan menuju ke arah status negara maju pada tahun 2020. Tatkala itu, komuniti ideal mestilah direalisasikan oleh mahasiswa sendiri.

            Penzahiran komuniti ideal ini memiliki kerangka panduan yang bervariasi dan penulis berpendapat bahawa tamadun unggul purba di Tanah Melayu merupakan contoh terbaik. Perkembangan ilmu yang berlaku adalah meliputi nilai dan aspek kelimuan secara holistik seperti bidang falsafah, astronomi, keagamaan mahupun sains tabi’e. Masyarakat berilmu inilah yang telah berjaya melakar sejarah gemilang dan disegani di setiap benua yang mengenali mereka.

William James Perry didalam bukunya The Children of the Sun yang diterbitkan pada tahun 1927 ada merekodkan seperti berikut:
“The Malay Peninsula contains numerous remains of antiquity, not in the form of temples, but of ancient mines, the technique of which testifies to a high civilization.”

      Terdapat begitu banyak loji-loji kuno yang digunakan untuk melombong emas dijumpai berselerak di merata semenanjung. Loji-loji ini didapati menggunakan teknologi-teknologi yang terlalu tinggi sehingga menyebabkan para sarjana sukar untuk mempercayai bahawa loji-loji ini dibina dan dikendalikan oleh bangsa Melayu sehinggakan ada yang mengatakan bahawa ia dibina oleh bangsa asing yang tidak diketahui.

Gelang batu yang pernah dihasilkan


            Mat Rofa Ismail (2013) turut merungkai disiplin ilmu etnosains dan etnomatematik yang telah digelapkan oleh orientalis barat. Ilmu yang berteraskan sains dan matematik yang lahir daripada budaya Melayu-Islam telah menghasilkan ilmu  mantik, penghujahan, pemikiran kefalsafahan, perdebatan sufisme, pelayaran, seni perubatan, pengiraan takwim, kalendar dan musim, seni bina, retorik dan ketatabahasaan, pancalogam, persenjataan, tenunan dan warisan. Bahkan sebelum kedatangan Islam, Nusantara menjadi pusat penyebaran agama Hindu kerana ketinggian ilmu veda yang dimiliki oleh Brahmin pada ketika itu dan hubungan erat antara awal kemunculan Veda di Tanah Melayu (Oppenheimer, 1999). Ini membuktikan bahawa pencapaian epik pernah ditempa dan Community Ideal pernah terbina suatu masa dahulu.

Gambaran Atlantis sesuai dengan kedudukan di Asia Tenggara


         Maka cabaran pada hari ini begitu besar kerana arus globalisasi telah menghanyutkan masyarakat untuk cenderung menjadi masyarakat bermaklumat berbanding masyarakat berilmu. Justeru itu, mahasiswa sewajarnya mempelopori perubahan ini. Bukan lagi mahasiswa yang hanya menerima informasi tanpa menilai dan merujuk silang. Bukan lagi mahasiswa yang hanya mempercayai pendapat sembarangan tanpa ulasan cendekiawan yang ahli pada bidang tersebut. Bukan lagi mahasiswa yang beremosi dan terburu-buru dalam memberi pandangan dan melakukan tindakan hingga luluh budi pekerti. Bukan lagi mahasiswa yang terperangkap dengan agenda politik jumud dan menabur politik kebencian. 

     Pada waktu mahasiswa menjadi lebih terbuka dan matang, pada waktu mahasiswa menjiwai prinsip dan nilai, maka pada ketika itulah Ideal Community mampu dilahirkan. Pada ketika itu juga, pastikan kita; Mahasiswa UKM menjadi perintis kepada lonjakan sebuah komuniti idaman. Pastikan kita bangun menuju utopia ini bersama-sama dengan universiti bagi memastikan juga varsiti kita menjadi pusat pendidikan yang dinamik, pusat inovasi yang futuristik dan pusat pembangunan yang sejati. Jadikan UKM ini sebagai tempat kelahiran Ideal Community yang bakal meneraju agenda nasional kelak.

 Percayalah tekad ini kerana kita, Mahasiswa Peneraju ‘Ideal Commuity’


Rujukan:
1) Mat Rofa Ismail. 2013. Etnosains & Etnomatematik Alam Melayu. Universiti Malaya: UM Press.
2) Stephen Oppenheimer. 1999. Eden in The East: The Drowned Continent of Southeast Asia. Pheonix.
3) William James Perry. 1927. The Children of The Sun. Methuen Publisher.