Friday, June 25, 2010

B.A.B.I

Berlalunya sekian waktu telah aku jalani di sekolah seperti sedia kala. Berjalan-jalan kaki ini menuju ke pintu pagar sekolah. Begitu letih jiwa ini menghadapi sekian hari yang tidak pernah berubah selama mana aku masih bergelar seorang pelajar.

Tatkala dalam perjalanan itu, aku ketawa kecik mengenangkan perkara yang telah berlaku semasa di kelas tadi. Pada ketika itu, guru Bahasa Melayu kami tidak memasuki kelas atas kekangan yang tidak dapat dielakkan. Maka itulah adat kami apabila guru tidak masuk ke kelas maka satu sidang akan dibuat oleh sekalian pelajar-pelajar. Namun ketika itu, Hakim tidak menyertai persidangan tersebut. Sebermula kami bersidang dengan bulatan meja yang tersusun, tiba-tiba...

" Hakim, engkau ni BABI betul la! " Teriak Akmal kepadanya.

" Engkau apa hal tiba-tiba macam tu!" Aku mula-mula mencelah tanda tidak berpuas hati.

" A'ha, engkau datang 'matahari' ke? " Salah seorang daripada kami cuba melawak untuk menenangkan keadaan.

" Kau orang tidak nampak ke apa yang Hakim tengah buat? " Ujar Akmal dengan nada sinis sambil menjeling ke arah Hakim.

" Mestilah nampak! Dia kan tengah belajar, yang engkau tiba-tiba maki dia apa hal? Itu yang engkau belum jawab lagi!" Aku menengking untuk menginginkan kepastian.

" Memanglah dia tengah belajar! Tak kan lah dia hisap rokok,kan? " Akmal masih bersandiwara dengan ungkapan awal-awalnya tadi dan masih memutarbelit keadaan.

" Heyh, dia sudah lah baik, kenapa engkau cakap macam tu kepada dia? Dendam apa engkau dengan dia?" Kali ini giliran Zakwan menyampuk untuk menyokongku.

" Kejap, kejap. Kenapa pula kau orang semua pandang aku? Bila masa aku kutuk dia? " Perli Akmal sambil menyembunyikan tujuan percakapnnya yang sebenar.

" Engkau ni, sudah terang lagi bersuluh. Tadi yang engkau cakap babi kat dia kenapa pula? Kata pendakwah berhikmah." Aku memerlinya semula.

" Apa pula aku cakap 'babi' kat dia? Tapi terima kasih la sebab kaupuji aku. Aku ni memang berhikmah orangnya."

" Tadi engkau cakap babi tu apa benda? Perasan betullah engkau ni! "

" Aku tidak cakap babi kat dia tapi aku cuma cakap BABI kat dia! "

" Engkau cakap macam bukan Melayu. Pening dibuatnya. "

" Dia itu memanglah BABI sebab Banyak Amal Banyak Ilmu , kan BABI sinkop nya, kan kan? Cuba engkau tengok, dia itu amanah terhadap amanat ibubapa dan kerajaan. Kau orang macam mana? "

Mereka semu tersentak mendengar hujah Akmal tersebut termasuk diri aku. Hakim pula cuma tersenyum mendengar omongan mereka dari awal lagi kerana dia telah tahu mesej yang ingin disampaikan Akmal kepada kami semua.

Mereka semua pun sedar akan kesilapan masing-masing dan kembali ke tempat asal untuk melakukan sesuatu perkara yang lebih berfaedah demi menggalas amanah dan tanggungjawab ibubapa serta kerajaan terhadap mereka bagi melahirkan Modal Insan Nasional Minda Kelas Pertama.

-Bantu Diri Untuk Bantu Orang Lain-

No comments: