Pengarang: Mohd Sabri @ Mohd Nazri bin Ibrahim.
(Artikel dari Simposium Jati Diri Melayu
"Membina dan Memperkasa
Pemikiran Melayu".
Tempat: Auditorium Jabatan Muzium dan Antikuiti,
Muzium Negara Kuala Lumpur.
Tarikh: 31hb Mei 2003.
ms 7: Bani Jawi
Menurut Ibnu Athir, bangsa Melayu berasal dari Bani Jawi, iaitu keturunan Nabi Ibrahim AS, dengan isterinya Qanturah. (Menurut Kamus Dewan, Jawi bererti Melayu. Huruf Jawi adalah sama bentuk dan juga sebutannya seperti huruf Arab dengan beberapa tambahan huruf untuk disesuaikan dengan loghat lidah Melayu.)
Anak-anak Nabi Ibrahim dengan Qanturah (Bani Jawi) diperintahkan supaya mengembara ke tempat-tempat yang jauh di seluruh dunia. Madan dan Madyan telah mengembara ke suatu negeri yang kemudiannya dinamakan Madyan. Qisan diarahkan pergi ke Makkah dan mengahwini wanita Jurhum, lalu lahirlah al-Barbar. Yang lainnya ke Khurasan dan menjadi pemerintah di sana.
Keturunan Madyan menjadi penduduk Madyan, di daerah Ma'an di Negeri Syam. Allah AWJ mengutuskan Nabi Syu'aib AS kepada kaum ini. Dengan bermulanya sejarah Nabi Ibrahim AS dari Mosul di bandar Ur Babil/ Babylon (Iraq), ke Kana'an (Palestin), maka bertebaranlah keturunannya dan tersebarlah agama Tauhid Nabi Ibrahim AS ke seluruh dunia.
Manakala yang menuju ke Timur melalui dua jalan:
Satu: Jalan Laut.
Kedua: Jalan Darat.
Penghijrahan melalui jalan laut diketuai oleh Raja Mus dan telah mendarat di Palembang, Sumatera Selatan. Manakala jalan darat melalui Tibet.
Dengan itu, kita dapati sikap pimpinan secara beraja telah diwarisi dan berkembang di sebelah Asia - di India, Tibet, Nepal, Bhutan, Kemboja, Laos, Thailand, China, Jepun (Filipina, Indonesia-Kalimantan, Sulawesi, Pulau Jawa, Sumatera, dahulunya beraja), Brunei, Fiji, Papua New Guinea. Apatah lagi di Semenanjung Tanah Melayu, "Kerajaan Beraja" masih kekal berkuasa dan memerintah dengan Raja Berperlembagaan.
Di Tibet, Bani Jawi telah menamakan gunung yang tertinggi di dunia dengan nama Himalaya. Dalam bahasa Sanskrit bererti Gunung Melayu. Dari sana, penghijrahan ini bertebaran di kawasan sekitar seperti di Yunan, Vietnam, Laos, Kampuchea, Thailand dan sebahagiannya terus ke selatan sehingga ke Tanah Semenanjung yang juga dinamakan Malaya.
Semenanjung Tanah Melayu di peringkat awal, masa dahulu dan sejarahnya mengikut panggilan bangsa-bangsa di Asia Barat khususnya bangsa Arab ialah Tanah Jawi atau Tanah Bani Jawi, yakni Tanah Melayu.
Satu lagi sudut sejarah mengatakan, lagenda asal usul Melayu berasal dari Bukit Siguntang Mahameru, di Palembang, Sumatera Selatan. Dari punca ini dikatakan bahawa bangsa Melayu berasal dari Kayangan kerana Mahameru itu bermakna tempat tinggal segala dewa.
(Dewa turun dari tempat yang tinggi di luar atmosfera bumi. Ini boleh dikaitkan dengan kedatangan dari tempat tinggi di Banjaran Himalaya hingga ke kawasan Khatulistiwa).
Sekiranya mahu dikaitkan dengan lagenda Bukit Siguntang Mahameru, Sang Sapurba, Raja Chulan/ Raja Suran, Demang Lebar Daun, Wan Empuk dan Wan Malini, maka kebanyakan pengkaji dan penulis sejarah mengaitkannya dengan cerita-cerita klasik Hindu.
Walaubagaimanapun, dalam realitinya saya beranggapan apabila sesuatu yang datang dari tanah dataran sebelah Utara sama ada dari dataran tinggi Banjaran Himalaya atau dari Tanah Arab dan Asia Barat, ini akan dikaitkan dengan sesuatu yang jauh dan dari tempat tinggi.
Saya berkeyakinan dengan pendapat bahawa
keturunan dari Nabi Ibrahim AS dengan isterinya Qanturah, iaitu Raja Mus
dan Raja Zulkarnain, adalah lebih awal tamadunnya dan bertapak di Asia
Tenggara. Kemudiannya baharulah kedatangan dan pengaruh agama Hindu,
Buddha, Islam dan Kristian yang disejarahkan kemudian.
Dengan ini, bererti dan dapatlah difahami bahawa Jati Diri Bani Jawi telah sedia terbentuk dan teguh terhadap Akidah Islam Pengajaran Tauhid Suhuf Nabi Ibrahim yang dibawa, diajar dan diamalkan oleh Nabi Ibrahim Khalilullah (Kekasih Allah), dengan pengakuan dan pengabdian mutlak hanya kepada Allah Yang Maha Esa dan Maha Berkuasa.
Oleh itu, apa juga pengaruh agama lain yang datang kemudian di rantau ini, telah dapat ditangani dengan penuh berhikmah dan bijaksana.
Dengan ini, bererti dan dapatlah difahami bahawa Jati Diri Bani Jawi telah sedia terbentuk dan teguh terhadap Akidah Islam Pengajaran Tauhid Suhuf Nabi Ibrahim yang dibawa, diajar dan diamalkan oleh Nabi Ibrahim Khalilullah (Kekasih Allah), dengan pengakuan dan pengabdian mutlak hanya kepada Allah Yang Maha Esa dan Maha Berkuasa.
Oleh itu, apa juga pengaruh agama lain yang datang kemudian di rantau ini, telah dapat ditangani dengan penuh berhikmah dan bijaksana.
Biodata Pengarang:
Mohd Sabri @ Mohd Nazri bin Ibrahim ialah bekas guru, pelukis grafik, penerbit siaran ke sekolah-sekolah, penulis skrip drama radio, pelakon pentas, radio dan tv. Pengusaha percetakan. Kini penerbit dan pengusaha kedai buku. Pengalaman dalam pekerjaan, minat membaca dan mendekati para ilmuwan telah membentuk peribadinya peka dengan berjati diri.
No comments:
Post a Comment