Monday, March 17, 2014

MPP Jangan Mengeruhkan Insiden di Kolej Ibrahim Yaakub



Kemelut yang berlaku di Kolej Ibrahim Yaakub berkaitan kegiatan ‘spot check’ seorang felo lelaki yang ditemani dengan felo wanita telah menimbulkan satu bentuk atmosphere yang tidak sihat dalam kalangan mahasiswi UKM. Kemelut ini sebenarnya diburukkan lagi apabila terdapat sebahagian daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dalam PMUKM sendiri memperbesarkan isu ini hingga ke khalayak umum. Walaupun ada kebenarannya agar mahasiswi daripada setiap kolej perlu berhati-hati tetapi kesan disebaliknya akan menimbulkan perasaan tidak senang dan syak wasangka hinggakan situasi semasa tidak lagi bersifat kondusif. Ini yang harus difahami dan perlu dielakkan serta setiap MPP perlu untuk menjaga keharmonian ini. Bukannya mengeruhkan keadaan.

Pada awalnya, saya memuji tindakan MPP Mohd Hafizi selaku MPP UMUM ½ dan menjawat dalam Biro Kebajikan & Khidmat Sosial kerana mengambil tindakan proaktif dan cakna terhadap masalah yang dialami oleh sekelompok pelajar. Tetapi lama-kelamaan setelah pemerhatian dibuat, MPP Hasyimah yang mewakili kerusi yang sama melakukan tindakan yang tidak membantu. Bagi saya, ini merupakan satu pendekatan yang populis kerana hanya menarik tumpuan dan perhatian mahasiswa/wi tanpa solusi. Walaupun pada awalnya tindakan ini untuk membela pelajar terbabit, tetapi kini kita dapati bahawa sentimen telah dimainkan dan terdapat motif yang meragukan daripada dua MPP ini.


Pada hemat saya, apabila kita sebagai MPP benar-benar ingin membela mahasiswa/wi UKM, kita mestilah memastikan agar output nya memberi kesan dan jangan terlalu banyak suara-suara lantang berkumandang tetapi hanya sekadar input semata-semata. Saya perlu tegaskan di sini bahawa mereka perlu faham akan beberapa perkara. 1, isu ini melibatkan Kolej kediaman – Kolej Ibrahim Yaakub, maka sewajarnya perkara ini perlu ditangani dengan serius daripada Majlis Eksekutif Pelajar (MEP) sendiri sebagai badan yang memiliki kuasa di kolej berbanding MPP. Isu ini sebenarnya bukan isu baru bahkan pernah berlaku di kolej lain. Tetapi hal ini tidak diperbesarkan kerana barisan MEP dan Pengurusan menanganinya dengan kadar segera dan memastikan isu seperti itu tidak berulang lagi dan terdapat beberapa mekanisme yang ditambah baik agar maruah siswi terpelihara jika terdapat pegawai pejabat mahupun technician ingin menyelia blok atau ‘flatlet’ mahupun blok wanita.

        Kedua ialah mereka sendiri perlu faham konsep keadilan yang ingin dijulang dalam insiden ini. Benar, laporan telah dibuat kepada TNC HEPA berhubung dengan perkara ini, tetapi dengan sikap segelintir MPP ini yang menghentam ‘felo’ itu sendiri telah menafikan keadilan itu sendiri. Kita perlu tahu dahulu, siapakah suspek yang dikatakan sebagai ‘felo lelaki’ ini tadi. Sepanjang penulisan mereka, seolah-oleh mereka sendiri tidak mengenali suspek tersebut. Kedua, sekiranya suspek telah dikenal pasti, sewajarnya suspek juga berhak diberi ruang untuk menjelaskan diri. Ini tidak, pra-syarat ini tidak lagi dipenuhi, tetapi kenyataan yang memainkan perasaan dan emosi mahasiswi semakin menjadi-jadi. Tidakkah ini merupakah penghinaan kepada intelektual mahasiswi? 



      Jadi, saya menyeru agar mahasiswi perlu sedar isu sebenar yang berlaku termasuk juga siswi yang terbabit dan berikan kerjasama yang sebaiknya kepada pengurusan kolej bagi menangani gejala ini dan sampaikan apa sahaja informasi yang diketahui kepada mereka untuk siasatan dan tindakan yang wajar. MEP KIY juga perlu tampil dan menjelaskan isu ini dengan tegas agar tiada pihak yang boleh mengkotak-katikkan kepimpinan anda dan saya menasahati kepada dua rakan MPP saya untuk mencermati semula situasi yang berlaku.

Sekian, terima kasih.


Memupuk Budaya Komuniti Varsiti Yang Ideal

ANIS ANWAR BIN SUHAIMI,
Majlis Perwakilan Pelajar,
Umum 1/2 Sesi 2013/2014,
Universiti Kebangsaan Malaysia

Tuesday, March 4, 2014

Era Baru Mahasiswa

Pada 3 March 2014 telah diadakan perjumpaan bersama antara Timbalan Naib Canselor dengan para pemimpin pelajar  Persatuan-persatuan Mahasiswa UKM seperti Majlis Perwakilan Pelajar dan Persatuan Mahasiswa Fakulti, Persatuan Mahasiswa Pusat beserta Majlis Eksekutif Pelajar setiap kolej. Bahkan yang menghadiri juga bukan sekadar daripada pelajar-pelajar ijazah sarjana muda tetapi juga dihadiri oleh pelajar sarjana yang mewakili persatuan mereka. Sambutan yang diberikan oleh para mahasiswa adalah memberansangkan kerana lebih daripada 100 perwakilan mahasiswa menghadiri mesyuarat ini demi mendengar harapan daripada pengurusan tertinggi UKM kepada mahasiswa yang dikasihi serta harapan untuk menyuarakan keperluan mahasiswa kepada TNC HEPA agar diberi perhatian yang sewajarnya.

Terdapat beberapa perkara telah dimaklumkan kepada barisan kepimpinan pelajar agar menjadi penambahbaikan pada sesi semester yang akan dating. Antaranya:


1.      Proposal perlu dihantar untuk kelulusan denga lebih awal supaya takwim UKM dapat dirangka dan dipaparkan secara umum untuk pengetahuan pelajar bagi menyertai setiap program yang berlangsung di UKM.
2.      Program yang dirancang oleh mahasiswa haruslah memberi impak yang tinggi dan berterusan. Mahasiswa UKM secara puratanya telah melakukan hampir 1000 program sepanjang 2 semestar tetapi masih belum mendapat pengiktiran oleh pihak luar.

3.      Ekoran daripada itu, sekiranya program yang dilakukan dapat memberi impak yang lestari bahkan memberi output yang tinggi, ini akan menjadi potensi kepada pelajar UKM untuk mendapat anugerah Tokoh Siswa yang kini telah dirangkul oleh pelajar UNISZA.

4.      Pelajar juga diingatkan bahawa kita semua memegang maruah UKM yang selama ini telah dilakar indah oleh alumni UKM terdahulu hingga nama UKM telah ditempa di serata dunia.

Di samping amanat yang disampaikan ini, terdapat satu perkara yang sering kali diperdengarkan. Amanat ini juga menjadi harapan daripada Dato Naib Canselor yang sangat berorientasikan mahasiswa. Oleh itu, beliau sangat berharap agar sepanjang pentadbiran beliau, Pusanika ini akan menjadi tumpuan bagi pusat aktiviti pelajar setiap hari 365 hari/ setahun.

            Saya melihat bahawa terdapat usaha daripada barisan kepimpinan yang baharu ini untuk menjadikan UKM kembali kepada asal muasal penubuhannya. Semua ini tidak lain tidak bukan adalah untuk kebaikan kita bersama di samping kegusaran yang dialami kerana keboleh pasaran mahasiswa telah merundum semenjak mutakhir ini yang mencecah bahawa 50% yang bekerjaya selepas 6 bulan. Mereka juga telah tunjukkan sifat mesra pelajar dan selalu turun padang untuk mendengar denyut nadi mahasiswa. Ayuh mahasiswa kita sahut seruan mereka untuk membawa kita kepada kemuncak sekali lagi.

“MENGILHAM HARAPAN MENCIPTA MASA DEPAN”

ANIS ANWAR BIN SUHAIMI
Majlis Perwakilan Pelajar
Umum 1/2
Universiti Kebangsaan Malaysia.