Tuesday, November 27, 2012

Pengaruh Raja Dalam Politik Melayu

Pengaruh Raja dalam Politik Melayu : Mukaddimah



Mukaddimah
            Malaysia pada hari ini memiliki satu bentuk sistem politik dan pemerintahan yang unik di mana demokrasi berparlimen raja berperlembagaan menjadi teras utama bagi keberlangsungan kewujudan Malaysia ini sendiri. Sebermula wujudnya kombinasi dua sistem ini dalam sebuah negara majmuk adalah merupakan satu kisah yang begitu panjang bahkan menjangkau ratusan tahun lamanya. Selain itu juga, Malaysia jugalah menjadi satu-satunya negara di dunia ini yang menggunakan sistem sedemikian malahan kekal utuh hinggalah ke hari ini. Parlimen dianggap sebagai sebuah bentuk institusi yang menjamin hak-hak asasi serta perjalanan demokrasi di negara ini agar terus terpelihara dengan lunas-lunas Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Manakala, Perlembagaan Persekutuan pula telah dirangka dan digubal oleh Suruhanjaya Reid serta dipersetujui masyarakat Tanah Melayu umumnya pada pra-kemerdekaan. Hasil pembentukan piagam inilah yang telah meletakkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Yang Dipertuan Agong (YDPA) sebagai kepala utama di persekutuan ini (Perlembagaan Persekutuan: 2011) [1]. Tambahan lagi, Perlembagaan Persekutuan ini jugalah yang memeilihara hak-hak kedaulatan dan keistimewaan Majlis Raja-raja Melayu [2]. Oleh itu, fokus penulisan ini bukanlah untuk menceritakan bagaimana terbentuknya dua sistem politik ini dalam satu gabungan tetapi adalah untuk melihat pengaruh raja dalam politik Melayu. Politik Melayu umumnya juga akan akan dibicarakan berdasarkan dua pecahan iaitu budaya politik dan sistem politik yang membantu untuk menjelaskan lagi penulisan ini.
            Kerangka yang perlu ditekankan dalam menilai pengaruh raja itu adalah bermula dengan agama raja-raja Melayu yang telah direkodkan dalam catatan-catatan sejarah baik dari sarjana tempatan mahupun sajana luar. Agama kuno raja-raja Melayu ini turut mendapat perhatian dari kalangan pengkaji kerana telah wujud premis-premis baharu yang menghala ke arah kesimpulan baru dan dianggap kesahihannya itu lebih holistik. Walaupun begitu, agama raja-raja turut memainkan peranan dalam sistem kepercayaannya untuk meraih kepatuhan dan kesetiaan rakyat terhadap baginda. Penulisan ini juga akan menerangkan intipati kepercayaan ini yang begitu kuat dipegang oleh sekalian penduduk negeri hingga dapat mempengaruhi nilai-nilai politik dalam masyarakat Melayu. Manakala ruang lingkup masa itu dikira dengan perjalanan kemasukan agama terawal sehinggalah ke era dakwah Islamiyah yang bertapak di Tanah Melayu ini.
            Asal usul keturunan raja juga akan diturut dibahaskan dalam kadar yang munasabah dan mudah difahami oleh pembaca sekalian. Hal ini kerana riwayat hidup raja-raja berserta susur galurnya yang bersimpang siur telah menjadikan betapa sejarah Melayu ini sedemikian kompleks. Kertas projek ini akan menceritakan kronologi umum mengenai asal keturunan raja ini kerana sifat-sifat kemuliaan dan dzat keturunan baginda juga, maka secara tidak langsung telah memberi satu keabsahan kepada raja-raja untuk berkuasa dalam keputusan politik Melayu pada ketika itu. Berdasarkan bukti-bukti bertulis yang ada, telah memberi kesempatan kepada penulis untuk menceritakan juga serba sedikit darah keturunan raja ini sebermulanya pengasasan Bangsa Melayu daripada perkahwinan yang berlaku pada zaman dahulu. Menyedari kemuliaan ini seolah-olah masyarakat Melayu mengiktiraf kemuliaan baginda dari aspek psikologinya agar darah yang mulia ini kekal disembah sepanjang pemerintahannya.
            Setiap agama yang wujud dan diajarkan oleh insan-insan terpilih pastinya akan diterangkan mengenai hubungan antara rakyat dan pemerintah baik melalui perkataan Mahaguru ini tadi mahupun melalui wahyu-wahyu yang terkandung dalam kitab suci masing-masing. Betapa hubungan antara dua kelompok ini akan dihuraikan dalam istilah dan konsep yang wujud dalam ajaran tersebut. Maka beberapa konsep yang wujud pada setiap agama yang dianuti juga akan turut diperincikan seberapa mampu oleh penulis. Ajaran-ajaran ini bukanlah semata-mata untuk mengikat kesetiaan rakyat kepada pemimpinnya tetapi juga untuk menerangkan bahawasanya hubungan ini juga perlu dipelihara agar perjalanan sesebuah negara tersebut terus kekal dalam keadaan yang harmoni. Secara tidak langsung juga, konsep-konsep keagaamaan ini jugalah yang akan mempengaruhi politik sesuatu masyarakat khususnya masyarakat Melayu kerana raja adalah tonggak mereka.
            Empayar Kesultanan Melayu Melaka telah dianggap sebagai satu zaman kemuncak yang dialami oleh bangsa Melayu. Turut dikhabarkan juga bahawa empayar inilah yang memiliki kekayaan yang tidak terkira dan kegemilangan yang luar biasa sebagaimana yang dicatatkan oleh Laksamana Cheng Ho dalam ekspedisinya melawat Tanah Melayu. Sepanjang zaman keemasan  pada era Kesultanan Melayu Melaka, sultan-sultan telah bersilih ganti untuk meneruskan legasi nenek moyangnya dalam institusi yang mulia ini. Zaman ini dapat menggambarkan secara tepat dan lebih menyeluruh betapa pengaruh raja-raja dalam politik Melayu ini begitu mendalam. Sama ada raja tersebut adil mahupun zalim, namun pantang Melayu menderhakai sultannya (Ismail Hussein: 1989). Prinsip ini terus berkekalan dan terus subur dalam masyarakat Melayu hinggalah ke hari ini. Oleh hal yang demikian, telah menjadi satu prasyarat kepada penulis untuk menukilan seorang figura dari salah satu raja ini yang berkisarkan konteks catatan kali ini.
            Era keemasan ini tidak bertahan lama apabila tahun 1511 menjadi satu titik hitam dalam sejarah Empayar Melayu Melaka yang telah menjadi mercu kegemilangan bagi peradaban masyarakat di Tanah Melayu[3]. Apabila pada tahun sumpahan tersebut, Portugis telah berjaya menyerang Kota Melaka dalam tempoh yang agak singkat. Semenjak daripada itu, serangan daripada tentera berpaksi kian bertubi-tubi menekan empayar agung itu. Kemudian episode penjajahan daripada imperialis sedikit demi sedikit telah menghakis kedaulatan, hak-hak kedaulatan dan keistimewaan yang dinikmati oleh raja-raja Melayu pada abad tersebut. Walaupun begitu sejarah telah membuktikan bahawasanya institusi raja-raja kekal wujud dan berdiri di Tanah Melayu walaupun institusi ini telah ranap dirobek oleh penjajah di negara-negara serantau yang lain. Maka ini juga membuktikan peri pentingnya isntitusi ini dalam politik Melayu dan akan turut dikupas untuk melengkapkan lagi kerangka tajuk ini.
            Penjajah di Tanah Melayu ini juga silih berganti bermula dengan Portugis sehinggalah ke British dan di akhir babak kolonisasi oleh British, rakyat di Tanah Melayu mulai sedar untuk menuntut kemerdekaan terhadap pihak British. Pelbagai liku dan ranjau yang dihadapi sepanjang tuntutan kemerdekaan tersebut baik dari golongan kanan mahupun dari golongan kiri. Namun di akhir kisah ini, telah terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957 dan Malaysia [4] pada tahun 1963 di mana berlakunya kemasukan Sabah dan Sarawak  ke dalam persekutuan ini. Kemudian pada era kewujudan sebuah negara bangsa baharu yang dipanggil sebagai Malaysia, maka adalah wajar untuk kita menilai pengaruh raja dalam politik Melayu ini dari beberapa aspek berdasarkan panduan tertinggi daripada peruntukan-peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
            Sepanjang penitian usia Malaysia di dunia pasca moden ini, aspek Bahasa Kebangsaan sepert yang termaktub di dalam Perkara 152 : Perlembagaan Persekutuan adalah perlu untuk dilihat bagaimana Raja-raja Melayu berperanan memelihara martabat bahasa. Bukan sekadar itu sahaja, isu agama seperti yang berkaitan mengenai kedudukan istimewa Agama Islam [5], pendidikan agama Islam [6] dan pengamalan agama Islam [7] adalah relevan untuk dilakukan penelitian juga oleh sebab raja-raja merupakan ketua agama Islam. Malahan yang menjadi teras utama kepada pembentukan Negara Malaysia ialah bangsa Melayu, maka isu-isu yang berkaitan dengannya juga adalah wajib untuk dirangkumkan sekali di dalam wacana ini bangsa Melayu ini dinaungi oleh Majlis Raja-raja sejak sekalian lamanya walaupun kini masyarakat Malaysia turut memiliki Parlimen yang akan mentadbir Malaysia.

P/S* Catatan belum siap ditulis sepenuhnya.

Pengaruh Raja Dalam Politik Melayu I

Pengaruh Raja dalam Politik Melayu : Agama Raja-raja Melayu


Masyarakat Melayu umumnya telah lama wujud di nusantara ini bahkan bangsa ini juga telah memiliki struktur pemerintahan dan politik yang begitu sistematik dan teratur. Sebermula kerajaan melayu kuno seperti Funan, Srivijaya bahkan lebih lama lagi seperti Kerajaan Sailendria dan Matahari telah mengamalkan sistem pemerintahan beraja ataupun lebih dikenali sebagai monarki. Dipercayai juga bahawasanya, masyarakat Melayu merupakan bangsa pertama yang mengasaskan pemerintahan monarki di dunia dan secara tidak langsung layak digelar sebagai pengamal sistem monarki yang tertua di dunia. Sehubungan dengan itu, bagi menghuraikan sejauh mana pengaruh raja dalam politik Melayu khususnya di Tanah Melayu pada hari ini yang digelar sebagai Malaysia, maka menjadi pra-syarat bagi penulis untuk mengenengahkan dua aspek utama. Pertamanya perihal susur galur atau asal usul raja-raja Melayu dan juga anutan agama atau kepercayaan baginda sekalian. 

Salasilah raja-raja Melayu dapat dikenal pasti penceritaan melalui tiga zaman yang berbeza iaitu zaman Hindu-Buddha, zaman kedatangan Islam dan zaman pasca moden pada hari ini. Asal usul raja di alam Melayu sebelum abad ke 15M, adalah berasaskan konsep kosmologi iaitu raja merupakan simbol kosmos manakala rakyat berada di bawah penguasaannya. Melalui konsep ini maka terbentuklah konsep dewaraja (Dr. Hj Abdullah Ishak: 1990). Dewaraja bermaksud raja adalah jelmaan dewa Shiva dan Vishn (James L. Peacock 1973 : 14).

“The king, therefore was a god, “Siva-Buddha is He, material-immaterial by nature’, sang the poet of Majapahit of his king. He is surely Ruler over the rulers of the world’. Of Air-Langga it is said that he was an incarnation of Vishnu and also incarnated as Vishnu, and also incarnates as Shiva, an event celebrated by a volcanic eruption at his birth. Ken Angrok, incarnated as Vishnu was also the adopted child of Shiva. To assure that Ken Angrok exuded the divine light and heat royalty, he was married with a flaming womb.” 

Oleh hal yang demikian, golongan raja dan bangsawan yang menjadi pemimpin dalam kalangan masyarakat telah dianggap mulia dan suci dari dosa dan hasil dari kepercayaan itu telah membentuk sebuah kewajipan bagi rakyat untuk mentaati golongan ini (Shaharuddin 1988). Namun begitu, hasil pandangan dua mereka sebenarnya telah dicantas oleh Kitab Suci Agama Veda (Hindu) kerana ketaatan yang mutlak itu hanyalah pada Maha Pencipta sahaja sementara Dewa Vishnu dan Shiva itu ialah makhluk semata-semata.

Maha Upanishad 1:
“eko vai narayana asin, na brahma na isano napo nagni, saman neme dyav-aprthivi, na naksatrani na suryah.”
Maksudnya :
(Pada awal ciptaan yang ada hanya Narayana. Tak ada dewa Brahma, dewa Siwa, api, bulan, bintang dilangit ataupun matahari)
Bhagavad-gita 9.25
“Orang yang menyembah dewa-dewa akan dilahirkan di antara para dewa, orang yang menyembah leluhur akan pergi ke leluhur, orang yang menyembah hantu dan roh halus akan dilahirkan di tengah-tengah makhluk-makhluk seperti itu, dan orang yang menyembah-Ku akan hidup bersama-Ku.”

            Kedua-dua kitab ini terkelompok dalam golongan Kitab Smriti yang mengandungi ucapan, perbuatan dan tulisan daripada rishi (orang mulia). Perkataan ‘Upanishad’ ini berakar daripada perkataan ‘ajaran yang teramat rahsia’ yang menjelaskan mengenai penciptaan dewa-dewa, alam dan pembebasan daripada kebodohan. ‘Bhagavad-gita’ pula mengandungi maksud ‘Nyanyia Ilahi’ yang mengandungi kisah-kisah dan mendapat kedudukan yang penting dalam himpunan Mahabhrata (Joesoef Sou’yb : 1996).
      Kepercayaan ini terus berkekalan sehinggalah bermulanya dakwah Islam ke tanah Melayu ini. Kedatangan Islam yang pertama dipercayai telah didorong oleh ucapan Nabi terhadap para sahabat untuk berdakwah ke Alam Melayu ini. Ucapan Nabi Muhammad S.A.W ini telah didapati dalam dua kitab sejarah agung Melayu iaitu Hikayat Raja-raja Pasai dan Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu)[4] :

            “Sepeninggal aku telah wafat kelak, akan muncul sebuah negeri di bawah angin, Samundra namanya.”“Apabila terdengar kamu nama negeri itu, maka suruhlah sebuah bahtera untuk membawa perkakas dan alat kerajaan ke negeri itu, serta kamu Islamkan sekalian isi negeri itu, serta ajar mereka mengucap dua kalimah syahadat. Kerana dalam negeri itu kelak banyak orang yang akan menjadi wali Allah.” “Tetapi semasa kamu hendak pergi ke negeri itu, hendaklah kamu singgah mengambil seorang fakir di negeri Mengiri, bawalah fakir itu bersama-sama belayar ke negeri Samundra itu.” (A. Samad Ahmad : 2010)

            Sebenarnya telah timbul satu persoalan penting dalam ucapan Nabi S.A.W iaitu di manakah Samundra itu? Di dalam kitab Sulalatus Salatin, Samundra itu telah diperintah oleh Merah Silu yang kemudiannya dinamai sebagai Sultan al Malikus Salih. Kawasan pemerintahan baginda pula ialah Samudera-Pasai. Namun jikalau diteliti dalam dimensi yang berbeza, perkataan ‘Samundra’ ini berasal daripada perkataan Sanskrit yang membawa maksud ‘lautan’. Jikalau digabungkan antara perkataan negari & Samundra, maka makna baru akan diperoleh iaitu, Negeri Lautan yang lebih dikenali sebagai kerajaan maritim.

            Sebermula era dakwah Islam di Nusantara, kedudukan raja-raja Melayu masih dimuliakan dalam masyarakat Melayu namun baginda telah dikaitkan dengan keturunan Iskandar Zulkarnain dan juga keturunan Nabi Sulaiman A’laihis Salam (A.S). Walaupun sesetengah masyarakat mendakwa bahawa teori-teori seumpama ini merupakan cerminan psikologi manusia yang ghairah untuk berada dalam susur galur yang mulia, namun teori sedemikian wajar mendapat tempat di pentas akademik untuk mendapat pertimbangan yang adil. 

            Walaupun semenjak sedemikian lamanya masyarakat mempercayai bahawa Raja-raja Melayu dan sekalian rakyatnya menganuti agama Hindu-Buddha pada satu ketika dahulu, kemudian berlakunya perpindahan anutan agama secara besar-besaran  kepada agama Islam (syariat Nabi Muhammad S.A.W) di Tanah Melayu, namun telah wujud beberapa teori baharu yang mengemas kini kembali fakta tersebut. Hal ini dapat dirujuk apabila dilakukan rujuk silang antara catatan Orientalis, tempatan dan rangkuman perkaitan ini dapat diperjelaskan lagi melalui Kitab Veda ;

1)      Orientalist : Masyarakat Melayu yang terdiri daripada raja dan rakyatnya
  menganuti agama Hindu-Buddha yang kininya agama politeisme.
2)       Tempatan : Keturunan raja-raja Melayu berasal daripada Iskandar Zulkarnain dan
   menganuti agama Hanif Nabi Ibrahim bersama-sama rakyatnya.

            Maka telah timbul beberapa persoalan kerana telah dicatatkan berlakunya dua pengamalan agama pada masa yang sama. Jadi adakah salah satu daripada catatan ini merupakan fakta yang salah? Ataupun Agama Veda ini merupaka ajaran agama Hanif Nabi Ibrahim di Nusantara ini? Kitab Veda sekaligus menjawab persoalan ini apabila di dalamnya terkandung ajaran tauhid dan wujudnya kesan jejak daripada Nabi Ibrahim A.S.

“Ya eko asti damsanã mahãri – ugro abhi vrataih” (Rig Veda VIII.1.27)
“Ia yang Maha Esa, yang mengagumkan, agung dan kuat serta mengedalikan hukum suci-Nya”
            Tanda wujudnya kesan jejak Nabi Ibrahim dalam ayat lain yang selari dengan teks Quran yang memiliki dua kata kunci utama iaitu jejak Nabi Ibrahim dan keberadaannya di Baitullah (Rumah Allah) yang diberkahi ;
“Brhama berdiam di tempat ini yang dinaugi cahaya langit dan dilindungi rahmat tuhan. Ini adalah tempat kehidupan spiritualiti bagi banyak orang dan belum pernah ditaklukkan.”
(Artharva Veda X:2,33) [5]

            Bahkan beberapa sarjana berpendapat keberadaan nama Brahma dan Saraswati dalam kitab Veda adalah nama daripada Abraham/Ibrahim dan Sarah, isteri kepada Nabi Ibrahim. (Muhammad Alexander : 2011). Maka melalui sokongan-sokongan daripada pelbagai sarjana pasca moden dan juga bukti-bukti daripada dua kitab suci agama jelas menyimpulkan bahawa Veda itu sebahagian daripada suhuf Ibrahim dan sekaligus membuktikan bahawa Raja-raja dan Masyarakat Melayu purba menganut fahaman monoteisme, Agama Hanif Ibrahim.

 Catatan :-
1.      
    4- Pengislaman Raja Samudera-Pasai, Sultan Malik Saleh telah mendorong pula kepada pengislaman Raja Melaka, Sultan Muhammad Syah seabad kemudian dan rentetan daripada peristiwa ini telah menjadi faktor penarik kemunculan Ahlul Bait ‘gelombang pertama’ di Alam Nusantara (Hj Muzaffar Dato’ Hj Mohamad & Suzana Hj Othman : 2009)
2.   5- Teks Veda ini ditulis oleh Abdul Haq Vidyarti (2008) yang telah diterjamahkan dalam judulnya ‘Ramalan tentang Muhammad’. Beliau menyebutkan bahawa Brahma ialah Ibrahim A.S manakala Baitullah (Kaabah) adalah selari dengan “Baik di bangun tinggi, dindingnya lurus ataupun tidak, tetapi tuhan tampak di setiap sisinya. Dia yang tahu Rumah Tuhan, tahun itu kerana tuhan dipuja di sana”  (Atharva Veda X:28)

Monday, November 26, 2012

DS Najib & Pemerhati Antarabangsa

Assalamulaikum w.b.t,

Hasil daripada cadangan yang dikemukakan daripada pihak Pakatan Rakyat (PR) telah menggemparkan Malaysia dan dipercayai telah memberi tekanan pihak kerajaan Barisan Nasional (BN). Cadangan untuk menjemput pemerhati antarabangsa daripada Australia untuk meneliti perjalanan Piliharaya Umum (PRU) di Malaysia telah mengundang pelbagai kontroversi dan spekulasi. PRU sememangnya tidak dapat dinafikan lagi kerana proses ini telah menjadi teras kepada sesebuah negara yang demokratik.

Namun begitu, adakah cadangan daripada PR ini dikatakan wajar ataupun tidak?

Perlu kita ketahui bahawa setiap negara memiliki kedaulatannya yang tersendiri dan nilai kedaulatan ini menjadi satu perkara yang sangat sensisitif untuk disentuh oleh negara-negara lain. Apakah yang akan berlaku sekiranya satu-satu kedaulatan sesebuah negara ini dikacau oleh negara luar? Kesannya pasti menakutkan sebagaimana yang berlaku di Palestine apabila konflik kedaulatan antara Palestine dan Israel. Inilah contoh yang terbaik untuk dipaparkan kerana masih kekal berperang sehinggalah ke hari ini.

Samalah juga dalam hal ini, apabila masyarakat mengetahui bahawa proses pemilihan pemimpin dan kerajaan merupakan urusan dalaman negara yang sangat sulit dan tidak boleh disentuh langsung oleh orang luar. Mengapa? Kerana kitalah yang berkuasa untuk memilih mereka... Suara-suara sumbang pasti akan bergema apabila tatkala mereka akan berkata bahawa "Mereka ini sekadar pemerhati!"

Apakah alasan mereka untuk menjemput pemerhati daripada luar? Adakah kerana PRU kita tidak bersih dan telus? Sebenarnya mereka telah lupa bahawa masih ada saluran untuk mereka tegakkan 'kebenaran' mereka sekiranya mereka rasa ditipu oleh pemerintah.

Itulah dia Mahkamah Pilihan Raya... Sekiranya mereka memiliki bukti yang kukuh untuk mendakwa penipuan daripada pihak Barisan Nasional, pergilah ke mahkamah untuk dibicarakan! Namun saya yakin pasti akan kembali lagi suara-suara ini mula mengkritik integriti kehakiman tanpa menyedari kebobrokan wakil parti masing-masing.

Sekiranya kita yakin Allah itu pemelihara kebenaran dan kebenaran itu pasti terbongkar, maka jangan takut untuk gunakan saluran yang ada... Hanya mereka yang bertuankan nafsu dan emosi sahaja yang mudah untuk termakan segala racun yang ada di hadapan mata...

Akhir kata, fikir-fikirkan bagaimana sekiranya sejarah berulang kembali apabila pemimpin meminta kuasa luar untuk menyelia urusan kenegaraan kita sebagaimana yang berlaku ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka. Dek kerana pemimpin yang tamak haloba untuk memegang kuasa, habis musnah segalanya. Jangan dilupa sejarah itu...

Manusia yang melupakan sejarah pasti akan mengulanginya....