Pengaruh Raja dalam Politik Melayu : Mukaddimah
Mukaddimah
Malaysia pada hari ini memiliki satu
bentuk sistem politik dan pemerintahan yang unik di mana demokrasi berparlimen
raja berperlembagaan menjadi teras utama bagi keberlangsungan kewujudan
Malaysia ini sendiri. Sebermula wujudnya kombinasi dua sistem ini dalam sebuah
negara majmuk adalah merupakan satu kisah yang begitu panjang bahkan menjangkau
ratusan tahun lamanya. Selain itu juga, Malaysia jugalah menjadi satu-satunya
negara di dunia ini yang menggunakan sistem sedemikian malahan kekal utuh
hinggalah ke hari ini. Parlimen dianggap sebagai sebuah bentuk institusi yang
menjamin hak-hak asasi serta perjalanan demokrasi di negara ini agar terus
terpelihara dengan lunas-lunas Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Manakala,
Perlembagaan Persekutuan pula telah dirangka dan digubal oleh Suruhanjaya Reid
serta dipersetujui masyarakat Tanah Melayu umumnya pada pra-kemerdekaan. Hasil
pembentukan piagam inilah yang telah meletakkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia
(DYMM) Yang Dipertuan Agong (YDPA) sebagai kepala utama di persekutuan ini
(Perlembagaan Persekutuan: 2011) [1]. Tambahan lagi, Perlembagaan
Persekutuan ini jugalah yang memeilihara hak-hak kedaulatan dan keistimewaan Majlis
Raja-raja Melayu [2]. Oleh itu, fokus penulisan ini bukanlah untuk
menceritakan bagaimana terbentuknya dua sistem politik ini dalam satu gabungan
tetapi adalah untuk melihat pengaruh raja dalam politik Melayu. Politik Melayu
umumnya juga akan akan dibicarakan berdasarkan dua pecahan iaitu budaya politik
dan sistem politik yang membantu untuk menjelaskan lagi penulisan ini.
Kerangka yang perlu ditekankan dalam
menilai pengaruh raja itu adalah bermula dengan agama raja-raja Melayu yang
telah direkodkan dalam catatan-catatan sejarah baik dari sarjana tempatan
mahupun sajana luar. Agama kuno raja-raja Melayu ini turut mendapat perhatian
dari kalangan pengkaji kerana telah wujud premis-premis baharu yang menghala ke
arah kesimpulan baru dan dianggap kesahihannya itu lebih holistik. Walaupun
begitu, agama raja-raja turut memainkan peranan dalam sistem kepercayaannya
untuk meraih kepatuhan dan kesetiaan rakyat terhadap baginda. Penulisan ini
juga akan menerangkan intipati kepercayaan ini yang begitu kuat dipegang oleh
sekalian penduduk negeri hingga dapat mempengaruhi nilai-nilai politik dalam
masyarakat Melayu. Manakala ruang lingkup masa itu dikira dengan perjalanan
kemasukan agama terawal sehinggalah ke era dakwah Islamiyah yang bertapak di
Tanah Melayu ini.
Asal usul keturunan raja juga akan
diturut dibahaskan dalam kadar yang munasabah dan mudah difahami oleh pembaca
sekalian. Hal ini kerana riwayat hidup raja-raja berserta susur galurnya yang
bersimpang siur telah menjadikan betapa sejarah Melayu ini sedemikian kompleks.
Kertas projek ini akan menceritakan kronologi umum mengenai asal keturunan raja
ini kerana sifat-sifat kemuliaan dan dzat keturunan baginda juga, maka secara
tidak langsung telah memberi satu keabsahan kepada raja-raja untuk berkuasa dalam
keputusan politik Melayu pada ketika itu. Berdasarkan bukti-bukti bertulis yang
ada, telah memberi kesempatan kepada penulis untuk menceritakan juga serba
sedikit darah keturunan raja ini sebermulanya pengasasan Bangsa Melayu daripada
perkahwinan yang berlaku pada zaman dahulu. Menyedari kemuliaan ini seolah-olah
masyarakat Melayu mengiktiraf kemuliaan baginda dari aspek psikologinya agar
darah yang mulia ini kekal disembah sepanjang pemerintahannya.
Setiap agama yang wujud dan
diajarkan oleh insan-insan terpilih pastinya akan diterangkan mengenai hubungan
antara rakyat dan pemerintah baik melalui perkataan Mahaguru ini tadi mahupun
melalui wahyu-wahyu yang terkandung dalam kitab suci masing-masing. Betapa
hubungan antara dua kelompok ini akan dihuraikan dalam istilah dan konsep yang
wujud dalam ajaran tersebut. Maka beberapa konsep yang wujud pada setiap agama
yang dianuti juga akan turut diperincikan seberapa mampu oleh penulis.
Ajaran-ajaran ini bukanlah semata-mata untuk mengikat kesetiaan rakyat kepada
pemimpinnya tetapi juga untuk menerangkan bahawasanya hubungan ini juga perlu
dipelihara agar perjalanan sesebuah negara tersebut terus kekal dalam keadaan
yang harmoni. Secara tidak langsung juga, konsep-konsep keagaamaan ini jugalah
yang akan mempengaruhi politik sesuatu masyarakat khususnya masyarakat Melayu
kerana raja adalah tonggak mereka.
Empayar Kesultanan Melayu Melaka
telah dianggap sebagai satu zaman kemuncak yang dialami oleh bangsa Melayu.
Turut dikhabarkan juga bahawa empayar inilah yang memiliki kekayaan yang tidak
terkira dan kegemilangan yang luar biasa sebagaimana yang dicatatkan oleh
Laksamana Cheng Ho dalam ekspedisinya melawat Tanah Melayu. Sepanjang zaman
keemasan pada era Kesultanan Melayu Melaka,
sultan-sultan telah bersilih ganti untuk meneruskan legasi nenek moyangnya
dalam institusi yang mulia ini. Zaman ini dapat menggambarkan secara tepat dan
lebih menyeluruh betapa pengaruh raja-raja dalam politik Melayu ini begitu
mendalam. Sama ada raja tersebut adil mahupun zalim, namun pantang Melayu
menderhakai sultannya (Ismail Hussein: 1989). Prinsip ini terus berkekalan dan
terus subur dalam masyarakat Melayu hinggalah ke hari ini. Oleh hal yang
demikian, telah menjadi satu prasyarat kepada penulis untuk menukilan seorang
figura dari salah satu raja ini yang berkisarkan konteks catatan kali ini.
Era keemasan ini tidak bertahan lama
apabila tahun 1511 menjadi satu titik hitam dalam sejarah Empayar Melayu Melaka
yang telah menjadi mercu kegemilangan bagi peradaban masyarakat di Tanah Melayu[3].
Apabila pada tahun sumpahan tersebut, Portugis telah berjaya menyerang Kota
Melaka dalam tempoh yang agak singkat. Semenjak daripada itu, serangan daripada
tentera berpaksi kian bertubi-tubi menekan empayar agung itu. Kemudian episode
penjajahan daripada imperialis sedikit demi sedikit telah menghakis kedaulatan,
hak-hak kedaulatan dan keistimewaan yang dinikmati oleh raja-raja Melayu pada
abad tersebut. Walaupun begitu sejarah telah membuktikan bahawasanya institusi
raja-raja kekal wujud dan berdiri di Tanah Melayu walaupun institusi ini telah
ranap dirobek oleh penjajah di negara-negara serantau yang lain. Maka ini juga
membuktikan peri pentingnya isntitusi ini dalam politik Melayu dan akan turut
dikupas untuk melengkapkan lagi kerangka tajuk ini.
Penjajah di Tanah Melayu ini juga
silih berganti bermula dengan Portugis sehinggalah ke British dan di akhir
babak kolonisasi oleh British, rakyat di Tanah Melayu mulai sedar untuk
menuntut kemerdekaan terhadap pihak British. Pelbagai liku dan ranjau yang
dihadapi sepanjang tuntutan kemerdekaan tersebut baik dari golongan kanan
mahupun dari golongan kiri. Namun di akhir kisah ini, telah terbentuknya
Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957 dan Malaysia [4] pada tahun
1963 di mana berlakunya kemasukan Sabah dan Sarawak ke dalam persekutuan ini. Kemudian pada era
kewujudan sebuah negara bangsa baharu yang dipanggil sebagai Malaysia, maka
adalah wajar untuk kita menilai pengaruh raja dalam politik Melayu ini dari
beberapa aspek berdasarkan panduan tertinggi daripada peruntukan-peruntukan
yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sepanjang penitian usia Malaysia di
dunia pasca moden ini, aspek Bahasa Kebangsaan sepert yang termaktub di dalam
Perkara 152 : Perlembagaan Persekutuan adalah perlu untuk dilihat bagaimana
Raja-raja Melayu berperanan memelihara martabat bahasa. Bukan sekadar itu
sahaja, isu agama seperti yang berkaitan mengenai kedudukan istimewa Agama
Islam [5], pendidikan agama Islam [6] dan pengamalan
agama Islam [7] adalah relevan untuk dilakukan penelitian juga oleh
sebab raja-raja merupakan ketua agama Islam. Malahan yang menjadi teras utama
kepada pembentukan Negara Malaysia ialah bangsa Melayu, maka isu-isu yang
berkaitan dengannya juga adalah wajib untuk dirangkumkan sekali di dalam wacana
ini bangsa Melayu ini dinaungi oleh Majlis Raja-raja sejak sekalian lamanya
walaupun kini masyarakat Malaysia turut memiliki Parlimen yang akan mentadbir
Malaysia.
P/S* Catatan belum siap ditulis sepenuhnya.
2 comments:
aiseh blogger rpenye.nice entry btw
hehe, blogger underground je la.. x de la, ape sangat pun... hehe, cantik gak blog ek.. hehe
Terima kasih ^^
Post a Comment