Tuesday, November 27, 2012

Pengaruh Raja Dalam Politik Melayu

Pengaruh Raja dalam Politik Melayu : Mukaddimah



Mukaddimah
            Malaysia pada hari ini memiliki satu bentuk sistem politik dan pemerintahan yang unik di mana demokrasi berparlimen raja berperlembagaan menjadi teras utama bagi keberlangsungan kewujudan Malaysia ini sendiri. Sebermula wujudnya kombinasi dua sistem ini dalam sebuah negara majmuk adalah merupakan satu kisah yang begitu panjang bahkan menjangkau ratusan tahun lamanya. Selain itu juga, Malaysia jugalah menjadi satu-satunya negara di dunia ini yang menggunakan sistem sedemikian malahan kekal utuh hinggalah ke hari ini. Parlimen dianggap sebagai sebuah bentuk institusi yang menjamin hak-hak asasi serta perjalanan demokrasi di negara ini agar terus terpelihara dengan lunas-lunas Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Manakala, Perlembagaan Persekutuan pula telah dirangka dan digubal oleh Suruhanjaya Reid serta dipersetujui masyarakat Tanah Melayu umumnya pada pra-kemerdekaan. Hasil pembentukan piagam inilah yang telah meletakkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Yang Dipertuan Agong (YDPA) sebagai kepala utama di persekutuan ini (Perlembagaan Persekutuan: 2011) [1]. Tambahan lagi, Perlembagaan Persekutuan ini jugalah yang memeilihara hak-hak kedaulatan dan keistimewaan Majlis Raja-raja Melayu [2]. Oleh itu, fokus penulisan ini bukanlah untuk menceritakan bagaimana terbentuknya dua sistem politik ini dalam satu gabungan tetapi adalah untuk melihat pengaruh raja dalam politik Melayu. Politik Melayu umumnya juga akan akan dibicarakan berdasarkan dua pecahan iaitu budaya politik dan sistem politik yang membantu untuk menjelaskan lagi penulisan ini.
            Kerangka yang perlu ditekankan dalam menilai pengaruh raja itu adalah bermula dengan agama raja-raja Melayu yang telah direkodkan dalam catatan-catatan sejarah baik dari sarjana tempatan mahupun sajana luar. Agama kuno raja-raja Melayu ini turut mendapat perhatian dari kalangan pengkaji kerana telah wujud premis-premis baharu yang menghala ke arah kesimpulan baru dan dianggap kesahihannya itu lebih holistik. Walaupun begitu, agama raja-raja turut memainkan peranan dalam sistem kepercayaannya untuk meraih kepatuhan dan kesetiaan rakyat terhadap baginda. Penulisan ini juga akan menerangkan intipati kepercayaan ini yang begitu kuat dipegang oleh sekalian penduduk negeri hingga dapat mempengaruhi nilai-nilai politik dalam masyarakat Melayu. Manakala ruang lingkup masa itu dikira dengan perjalanan kemasukan agama terawal sehinggalah ke era dakwah Islamiyah yang bertapak di Tanah Melayu ini.
            Asal usul keturunan raja juga akan diturut dibahaskan dalam kadar yang munasabah dan mudah difahami oleh pembaca sekalian. Hal ini kerana riwayat hidup raja-raja berserta susur galurnya yang bersimpang siur telah menjadikan betapa sejarah Melayu ini sedemikian kompleks. Kertas projek ini akan menceritakan kronologi umum mengenai asal keturunan raja ini kerana sifat-sifat kemuliaan dan dzat keturunan baginda juga, maka secara tidak langsung telah memberi satu keabsahan kepada raja-raja untuk berkuasa dalam keputusan politik Melayu pada ketika itu. Berdasarkan bukti-bukti bertulis yang ada, telah memberi kesempatan kepada penulis untuk menceritakan juga serba sedikit darah keturunan raja ini sebermulanya pengasasan Bangsa Melayu daripada perkahwinan yang berlaku pada zaman dahulu. Menyedari kemuliaan ini seolah-olah masyarakat Melayu mengiktiraf kemuliaan baginda dari aspek psikologinya agar darah yang mulia ini kekal disembah sepanjang pemerintahannya.
            Setiap agama yang wujud dan diajarkan oleh insan-insan terpilih pastinya akan diterangkan mengenai hubungan antara rakyat dan pemerintah baik melalui perkataan Mahaguru ini tadi mahupun melalui wahyu-wahyu yang terkandung dalam kitab suci masing-masing. Betapa hubungan antara dua kelompok ini akan dihuraikan dalam istilah dan konsep yang wujud dalam ajaran tersebut. Maka beberapa konsep yang wujud pada setiap agama yang dianuti juga akan turut diperincikan seberapa mampu oleh penulis. Ajaran-ajaran ini bukanlah semata-mata untuk mengikat kesetiaan rakyat kepada pemimpinnya tetapi juga untuk menerangkan bahawasanya hubungan ini juga perlu dipelihara agar perjalanan sesebuah negara tersebut terus kekal dalam keadaan yang harmoni. Secara tidak langsung juga, konsep-konsep keagaamaan ini jugalah yang akan mempengaruhi politik sesuatu masyarakat khususnya masyarakat Melayu kerana raja adalah tonggak mereka.
            Empayar Kesultanan Melayu Melaka telah dianggap sebagai satu zaman kemuncak yang dialami oleh bangsa Melayu. Turut dikhabarkan juga bahawa empayar inilah yang memiliki kekayaan yang tidak terkira dan kegemilangan yang luar biasa sebagaimana yang dicatatkan oleh Laksamana Cheng Ho dalam ekspedisinya melawat Tanah Melayu. Sepanjang zaman keemasan  pada era Kesultanan Melayu Melaka, sultan-sultan telah bersilih ganti untuk meneruskan legasi nenek moyangnya dalam institusi yang mulia ini. Zaman ini dapat menggambarkan secara tepat dan lebih menyeluruh betapa pengaruh raja-raja dalam politik Melayu ini begitu mendalam. Sama ada raja tersebut adil mahupun zalim, namun pantang Melayu menderhakai sultannya (Ismail Hussein: 1989). Prinsip ini terus berkekalan dan terus subur dalam masyarakat Melayu hinggalah ke hari ini. Oleh hal yang demikian, telah menjadi satu prasyarat kepada penulis untuk menukilan seorang figura dari salah satu raja ini yang berkisarkan konteks catatan kali ini.
            Era keemasan ini tidak bertahan lama apabila tahun 1511 menjadi satu titik hitam dalam sejarah Empayar Melayu Melaka yang telah menjadi mercu kegemilangan bagi peradaban masyarakat di Tanah Melayu[3]. Apabila pada tahun sumpahan tersebut, Portugis telah berjaya menyerang Kota Melaka dalam tempoh yang agak singkat. Semenjak daripada itu, serangan daripada tentera berpaksi kian bertubi-tubi menekan empayar agung itu. Kemudian episode penjajahan daripada imperialis sedikit demi sedikit telah menghakis kedaulatan, hak-hak kedaulatan dan keistimewaan yang dinikmati oleh raja-raja Melayu pada abad tersebut. Walaupun begitu sejarah telah membuktikan bahawasanya institusi raja-raja kekal wujud dan berdiri di Tanah Melayu walaupun institusi ini telah ranap dirobek oleh penjajah di negara-negara serantau yang lain. Maka ini juga membuktikan peri pentingnya isntitusi ini dalam politik Melayu dan akan turut dikupas untuk melengkapkan lagi kerangka tajuk ini.
            Penjajah di Tanah Melayu ini juga silih berganti bermula dengan Portugis sehinggalah ke British dan di akhir babak kolonisasi oleh British, rakyat di Tanah Melayu mulai sedar untuk menuntut kemerdekaan terhadap pihak British. Pelbagai liku dan ranjau yang dihadapi sepanjang tuntutan kemerdekaan tersebut baik dari golongan kanan mahupun dari golongan kiri. Namun di akhir kisah ini, telah terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957 dan Malaysia [4] pada tahun 1963 di mana berlakunya kemasukan Sabah dan Sarawak  ke dalam persekutuan ini. Kemudian pada era kewujudan sebuah negara bangsa baharu yang dipanggil sebagai Malaysia, maka adalah wajar untuk kita menilai pengaruh raja dalam politik Melayu ini dari beberapa aspek berdasarkan panduan tertinggi daripada peruntukan-peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
            Sepanjang penitian usia Malaysia di dunia pasca moden ini, aspek Bahasa Kebangsaan sepert yang termaktub di dalam Perkara 152 : Perlembagaan Persekutuan adalah perlu untuk dilihat bagaimana Raja-raja Melayu berperanan memelihara martabat bahasa. Bukan sekadar itu sahaja, isu agama seperti yang berkaitan mengenai kedudukan istimewa Agama Islam [5], pendidikan agama Islam [6] dan pengamalan agama Islam [7] adalah relevan untuk dilakukan penelitian juga oleh sebab raja-raja merupakan ketua agama Islam. Malahan yang menjadi teras utama kepada pembentukan Negara Malaysia ialah bangsa Melayu, maka isu-isu yang berkaitan dengannya juga adalah wajib untuk dirangkumkan sekali di dalam wacana ini bangsa Melayu ini dinaungi oleh Majlis Raja-raja sejak sekalian lamanya walaupun kini masyarakat Malaysia turut memiliki Parlimen yang akan mentadbir Malaysia.

P/S* Catatan belum siap ditulis sepenuhnya.

Pengaruh Raja Dalam Politik Melayu I

Pengaruh Raja dalam Politik Melayu : Agama Raja-raja Melayu


Masyarakat Melayu umumnya telah lama wujud di nusantara ini bahkan bangsa ini juga telah memiliki struktur pemerintahan dan politik yang begitu sistematik dan teratur. Sebermula kerajaan melayu kuno seperti Funan, Srivijaya bahkan lebih lama lagi seperti Kerajaan Sailendria dan Matahari telah mengamalkan sistem pemerintahan beraja ataupun lebih dikenali sebagai monarki. Dipercayai juga bahawasanya, masyarakat Melayu merupakan bangsa pertama yang mengasaskan pemerintahan monarki di dunia dan secara tidak langsung layak digelar sebagai pengamal sistem monarki yang tertua di dunia. Sehubungan dengan itu, bagi menghuraikan sejauh mana pengaruh raja dalam politik Melayu khususnya di Tanah Melayu pada hari ini yang digelar sebagai Malaysia, maka menjadi pra-syarat bagi penulis untuk mengenengahkan dua aspek utama. Pertamanya perihal susur galur atau asal usul raja-raja Melayu dan juga anutan agama atau kepercayaan baginda sekalian. 

Salasilah raja-raja Melayu dapat dikenal pasti penceritaan melalui tiga zaman yang berbeza iaitu zaman Hindu-Buddha, zaman kedatangan Islam dan zaman pasca moden pada hari ini. Asal usul raja di alam Melayu sebelum abad ke 15M, adalah berasaskan konsep kosmologi iaitu raja merupakan simbol kosmos manakala rakyat berada di bawah penguasaannya. Melalui konsep ini maka terbentuklah konsep dewaraja (Dr. Hj Abdullah Ishak: 1990). Dewaraja bermaksud raja adalah jelmaan dewa Shiva dan Vishn (James L. Peacock 1973 : 14).

“The king, therefore was a god, “Siva-Buddha is He, material-immaterial by nature’, sang the poet of Majapahit of his king. He is surely Ruler over the rulers of the world’. Of Air-Langga it is said that he was an incarnation of Vishnu and also incarnated as Vishnu, and also incarnates as Shiva, an event celebrated by a volcanic eruption at his birth. Ken Angrok, incarnated as Vishnu was also the adopted child of Shiva. To assure that Ken Angrok exuded the divine light and heat royalty, he was married with a flaming womb.” 

Oleh hal yang demikian, golongan raja dan bangsawan yang menjadi pemimpin dalam kalangan masyarakat telah dianggap mulia dan suci dari dosa dan hasil dari kepercayaan itu telah membentuk sebuah kewajipan bagi rakyat untuk mentaati golongan ini (Shaharuddin 1988). Namun begitu, hasil pandangan dua mereka sebenarnya telah dicantas oleh Kitab Suci Agama Veda (Hindu) kerana ketaatan yang mutlak itu hanyalah pada Maha Pencipta sahaja sementara Dewa Vishnu dan Shiva itu ialah makhluk semata-semata.

Maha Upanishad 1:
“eko vai narayana asin, na brahma na isano napo nagni, saman neme dyav-aprthivi, na naksatrani na suryah.”
Maksudnya :
(Pada awal ciptaan yang ada hanya Narayana. Tak ada dewa Brahma, dewa Siwa, api, bulan, bintang dilangit ataupun matahari)
Bhagavad-gita 9.25
“Orang yang menyembah dewa-dewa akan dilahirkan di antara para dewa, orang yang menyembah leluhur akan pergi ke leluhur, orang yang menyembah hantu dan roh halus akan dilahirkan di tengah-tengah makhluk-makhluk seperti itu, dan orang yang menyembah-Ku akan hidup bersama-Ku.”

            Kedua-dua kitab ini terkelompok dalam golongan Kitab Smriti yang mengandungi ucapan, perbuatan dan tulisan daripada rishi (orang mulia). Perkataan ‘Upanishad’ ini berakar daripada perkataan ‘ajaran yang teramat rahsia’ yang menjelaskan mengenai penciptaan dewa-dewa, alam dan pembebasan daripada kebodohan. ‘Bhagavad-gita’ pula mengandungi maksud ‘Nyanyia Ilahi’ yang mengandungi kisah-kisah dan mendapat kedudukan yang penting dalam himpunan Mahabhrata (Joesoef Sou’yb : 1996).
      Kepercayaan ini terus berkekalan sehinggalah bermulanya dakwah Islam ke tanah Melayu ini. Kedatangan Islam yang pertama dipercayai telah didorong oleh ucapan Nabi terhadap para sahabat untuk berdakwah ke Alam Melayu ini. Ucapan Nabi Muhammad S.A.W ini telah didapati dalam dua kitab sejarah agung Melayu iaitu Hikayat Raja-raja Pasai dan Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu)[4] :

            “Sepeninggal aku telah wafat kelak, akan muncul sebuah negeri di bawah angin, Samundra namanya.”“Apabila terdengar kamu nama negeri itu, maka suruhlah sebuah bahtera untuk membawa perkakas dan alat kerajaan ke negeri itu, serta kamu Islamkan sekalian isi negeri itu, serta ajar mereka mengucap dua kalimah syahadat. Kerana dalam negeri itu kelak banyak orang yang akan menjadi wali Allah.” “Tetapi semasa kamu hendak pergi ke negeri itu, hendaklah kamu singgah mengambil seorang fakir di negeri Mengiri, bawalah fakir itu bersama-sama belayar ke negeri Samundra itu.” (A. Samad Ahmad : 2010)

            Sebenarnya telah timbul satu persoalan penting dalam ucapan Nabi S.A.W iaitu di manakah Samundra itu? Di dalam kitab Sulalatus Salatin, Samundra itu telah diperintah oleh Merah Silu yang kemudiannya dinamai sebagai Sultan al Malikus Salih. Kawasan pemerintahan baginda pula ialah Samudera-Pasai. Namun jikalau diteliti dalam dimensi yang berbeza, perkataan ‘Samundra’ ini berasal daripada perkataan Sanskrit yang membawa maksud ‘lautan’. Jikalau digabungkan antara perkataan negari & Samundra, maka makna baru akan diperoleh iaitu, Negeri Lautan yang lebih dikenali sebagai kerajaan maritim.

            Sebermula era dakwah Islam di Nusantara, kedudukan raja-raja Melayu masih dimuliakan dalam masyarakat Melayu namun baginda telah dikaitkan dengan keturunan Iskandar Zulkarnain dan juga keturunan Nabi Sulaiman A’laihis Salam (A.S). Walaupun sesetengah masyarakat mendakwa bahawa teori-teori seumpama ini merupakan cerminan psikologi manusia yang ghairah untuk berada dalam susur galur yang mulia, namun teori sedemikian wajar mendapat tempat di pentas akademik untuk mendapat pertimbangan yang adil. 

            Walaupun semenjak sedemikian lamanya masyarakat mempercayai bahawa Raja-raja Melayu dan sekalian rakyatnya menganuti agama Hindu-Buddha pada satu ketika dahulu, kemudian berlakunya perpindahan anutan agama secara besar-besaran  kepada agama Islam (syariat Nabi Muhammad S.A.W) di Tanah Melayu, namun telah wujud beberapa teori baharu yang mengemas kini kembali fakta tersebut. Hal ini dapat dirujuk apabila dilakukan rujuk silang antara catatan Orientalis, tempatan dan rangkuman perkaitan ini dapat diperjelaskan lagi melalui Kitab Veda ;

1)      Orientalist : Masyarakat Melayu yang terdiri daripada raja dan rakyatnya
  menganuti agama Hindu-Buddha yang kininya agama politeisme.
2)       Tempatan : Keturunan raja-raja Melayu berasal daripada Iskandar Zulkarnain dan
   menganuti agama Hanif Nabi Ibrahim bersama-sama rakyatnya.

            Maka telah timbul beberapa persoalan kerana telah dicatatkan berlakunya dua pengamalan agama pada masa yang sama. Jadi adakah salah satu daripada catatan ini merupakan fakta yang salah? Ataupun Agama Veda ini merupaka ajaran agama Hanif Nabi Ibrahim di Nusantara ini? Kitab Veda sekaligus menjawab persoalan ini apabila di dalamnya terkandung ajaran tauhid dan wujudnya kesan jejak daripada Nabi Ibrahim A.S.

“Ya eko asti damsanã mahãri – ugro abhi vrataih” (Rig Veda VIII.1.27)
“Ia yang Maha Esa, yang mengagumkan, agung dan kuat serta mengedalikan hukum suci-Nya”
            Tanda wujudnya kesan jejak Nabi Ibrahim dalam ayat lain yang selari dengan teks Quran yang memiliki dua kata kunci utama iaitu jejak Nabi Ibrahim dan keberadaannya di Baitullah (Rumah Allah) yang diberkahi ;
“Brhama berdiam di tempat ini yang dinaugi cahaya langit dan dilindungi rahmat tuhan. Ini adalah tempat kehidupan spiritualiti bagi banyak orang dan belum pernah ditaklukkan.”
(Artharva Veda X:2,33) [5]

            Bahkan beberapa sarjana berpendapat keberadaan nama Brahma dan Saraswati dalam kitab Veda adalah nama daripada Abraham/Ibrahim dan Sarah, isteri kepada Nabi Ibrahim. (Muhammad Alexander : 2011). Maka melalui sokongan-sokongan daripada pelbagai sarjana pasca moden dan juga bukti-bukti daripada dua kitab suci agama jelas menyimpulkan bahawa Veda itu sebahagian daripada suhuf Ibrahim dan sekaligus membuktikan bahawa Raja-raja dan Masyarakat Melayu purba menganut fahaman monoteisme, Agama Hanif Ibrahim.

 Catatan :-
1.      
    4- Pengislaman Raja Samudera-Pasai, Sultan Malik Saleh telah mendorong pula kepada pengislaman Raja Melaka, Sultan Muhammad Syah seabad kemudian dan rentetan daripada peristiwa ini telah menjadi faktor penarik kemunculan Ahlul Bait ‘gelombang pertama’ di Alam Nusantara (Hj Muzaffar Dato’ Hj Mohamad & Suzana Hj Othman : 2009)
2.   5- Teks Veda ini ditulis oleh Abdul Haq Vidyarti (2008) yang telah diterjamahkan dalam judulnya ‘Ramalan tentang Muhammad’. Beliau menyebutkan bahawa Brahma ialah Ibrahim A.S manakala Baitullah (Kaabah) adalah selari dengan “Baik di bangun tinggi, dindingnya lurus ataupun tidak, tetapi tuhan tampak di setiap sisinya. Dia yang tahu Rumah Tuhan, tahun itu kerana tuhan dipuja di sana”  (Atharva Veda X:28)

Monday, November 26, 2012

DS Najib & Pemerhati Antarabangsa

Assalamulaikum w.b.t,

Hasil daripada cadangan yang dikemukakan daripada pihak Pakatan Rakyat (PR) telah menggemparkan Malaysia dan dipercayai telah memberi tekanan pihak kerajaan Barisan Nasional (BN). Cadangan untuk menjemput pemerhati antarabangsa daripada Australia untuk meneliti perjalanan Piliharaya Umum (PRU) di Malaysia telah mengundang pelbagai kontroversi dan spekulasi. PRU sememangnya tidak dapat dinafikan lagi kerana proses ini telah menjadi teras kepada sesebuah negara yang demokratik.

Namun begitu, adakah cadangan daripada PR ini dikatakan wajar ataupun tidak?

Perlu kita ketahui bahawa setiap negara memiliki kedaulatannya yang tersendiri dan nilai kedaulatan ini menjadi satu perkara yang sangat sensisitif untuk disentuh oleh negara-negara lain. Apakah yang akan berlaku sekiranya satu-satu kedaulatan sesebuah negara ini dikacau oleh negara luar? Kesannya pasti menakutkan sebagaimana yang berlaku di Palestine apabila konflik kedaulatan antara Palestine dan Israel. Inilah contoh yang terbaik untuk dipaparkan kerana masih kekal berperang sehinggalah ke hari ini.

Samalah juga dalam hal ini, apabila masyarakat mengetahui bahawa proses pemilihan pemimpin dan kerajaan merupakan urusan dalaman negara yang sangat sulit dan tidak boleh disentuh langsung oleh orang luar. Mengapa? Kerana kitalah yang berkuasa untuk memilih mereka... Suara-suara sumbang pasti akan bergema apabila tatkala mereka akan berkata bahawa "Mereka ini sekadar pemerhati!"

Apakah alasan mereka untuk menjemput pemerhati daripada luar? Adakah kerana PRU kita tidak bersih dan telus? Sebenarnya mereka telah lupa bahawa masih ada saluran untuk mereka tegakkan 'kebenaran' mereka sekiranya mereka rasa ditipu oleh pemerintah.

Itulah dia Mahkamah Pilihan Raya... Sekiranya mereka memiliki bukti yang kukuh untuk mendakwa penipuan daripada pihak Barisan Nasional, pergilah ke mahkamah untuk dibicarakan! Namun saya yakin pasti akan kembali lagi suara-suara ini mula mengkritik integriti kehakiman tanpa menyedari kebobrokan wakil parti masing-masing.

Sekiranya kita yakin Allah itu pemelihara kebenaran dan kebenaran itu pasti terbongkar, maka jangan takut untuk gunakan saluran yang ada... Hanya mereka yang bertuankan nafsu dan emosi sahaja yang mudah untuk termakan segala racun yang ada di hadapan mata...

Akhir kata, fikir-fikirkan bagaimana sekiranya sejarah berulang kembali apabila pemimpin meminta kuasa luar untuk menyelia urusan kenegaraan kita sebagaimana yang berlaku ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka. Dek kerana pemimpin yang tamak haloba untuk memegang kuasa, habis musnah segalanya. Jangan dilupa sejarah itu...

Manusia yang melupakan sejarah pasti akan mengulanginya....

Wednesday, October 17, 2012

Doa Lautan

Assalamualaikum.

Pertama kali saya menemui doa lautan ini dalam kitab Al Fuyudat ar Rabbaniya atau dalam Bahasa Inggerisnya Emanacipation Of Lordly Grace, A treasure of Qadiri Prayers and Wisdom yang dibeli di sebuah kedai buku di KLCC. Doa ini diamalkan oleh Imam Syazili dan dimulai dengan Bismillah, Al Fatehah, Ayat Qursi(2:255) dan Surah Al Ikhlas.

Seeloknya, ayat ini diijazahkan dari orang yang mengamalkan ayat ini dengan cara  bersanad oleh guru yang murshid. Menurut pengamal ayat ini yang mengamalkannya senantiasa (seeloknya waktu selesai solat Subuh dan  Asar, pengamalnya akan mendapat rezeki yang tidak disangka sangka serta  mendapat ilmu dari perbendaharaan Allah. Terjemahan Hisb Bahar dalam Bahasa Melayu disertakan.


Wahai Dzat Yang Maha Tinggi, Wahai Dzat Yang Maha Agung, Wahai Dzat Yang Maha Santun, Wahai Dzat Yang Maha Mengetahui, Engkaulah Tuhanku dan ilmu-Mu mencukupiku, sebaik-baik Tuhan, Engkaulah Tuhanku dan sebaik-baik kecukupan, pencukupan-Mu kepadaku, Engkau menolong seseorang yang engkau kehendaki dan Engkau adalah Maha Agung lagi Maha Penyayang, Kami memohon perlindungan dalam segala gerak dan tenang, segala ucapan dan kehendak,serta getaran hati kami dari segala keraguan dan buruk sangka serta angan-angan yang menutupi hati-hati dari penglihatan segala kesamaran. Sungguh-sungguh Orang-orang mukmin telah diuji dan telah diguncangkan dengan guncangan keras. Ingatlah pada waktu orang-orang munafik dan orang-orang yang dalam hatinya terdapat penyakit: “ Allah dan Rasul-Nya tidak berjanji kepada kami melainkan kepalsuan.” Maka tabahkanlah kami, tolonglah kami, tundukkanlah kepada kami lautan……………………… Ini sebagaimana telah Engkau tundukkan lautan kepada Musa, telah Engkau tundukkan api kepada Ibrahiim, telah Engkau tundukkan gunung-gunung dan besi untuk Daud, telah Engkau tundukkan jin dan syetan-syetan kepada Sulaiman; dan tundukkanlah kepada kami seluruh lautan kepunyaan-Mu yang ada di bumi, di langit dan di alam mulk serta alam malakut, dan tundukkanlah kepada kami lautan dunia dan lautan akhirat; tundukkanlah kepada kami segala sesuatu, wahai Dzat yang pada-Nya ada kekuasaan seluruh makhluk.


(KAAF HAA YAA ‘AIIN SHAAD) Tolonglah kami, sesungguhnya Engkau sebaik-baik penolong, bukah tabir yang menutupi hati kami, sesungguhnya Engkau adalah sebaik-baik pembuka. Berilah ampunan kepada kami, sesungguhnya Engkau sebaik-baik Pengampun; Kasihanilah kami, sesungguhnya Engkau sebaik-baik Pengasih; berilah kami rezeki, sesungguhnya Engkau sebaik-baik Pemberi rezeki; tunjukkanlah kami dan selamatkanlah kami dari orang-orang dhalim; berilah kami angin yang semerbak mewangi sebagaimana yang dalam ilmu Engkau dan sebarkanlah kepada kami gudang-gudang rakhmat Engkau; muatlah kami dengan rih thayyibah sebagaimana Engaku memuat kemuliaan beserta keselamatan dan kesehatan dalam agama dan dunia kami, sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Ya Allah, mudahkanlah urusan-urusan kami secara nyaman bagi hati-hati kami dan badan-badan kami, selamat dan sehat dalam agama dan dunia kami, jadilah Engkau sebagai pelindung kami dalam perjalanan kami, sebagai penjaga keluarga kami dan hapuskanlah dari wajah-wajah lawan kami serta hilangkanlah dari tempatnya, sehingga mereka tidak mampu melanjutkan langkah dan mendatangkannya kepada kami. Seandainya Kami menghendaki, sungguh Kami akan menghapus pada mata-mata mereka (orang-orang kafir) lalu mereka berlomba-lomba melewati shirat, maka bagaimanakah mereka dapat melihat? Dan seandainya Kami menghendaki, pastilah Kami rubah mereka di tempat-tempat mereka berada, lalu mereka tidak sanggup berjalan lagi dan tidak pula sanggup kembali. Yaa siin, Demi Al-Quran yang penuh hikmah, sesungguhnya kamu salah seorang di antara rasul-rasul ( yang berada) di atas jalan yang lurus, (sebagai wahyu) yang diturunkan oleh Tuhan Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang, agar kamu memberi peringatan yang bapak-bapak mereka belum pernah diberi peringatan, karena mereka lalai. Sesungguhnya telah pasti berlaku perkataan (ketentuan Allah) terhadap kebanyakkan mereka, karena mereka tidak beriman,sesungguhnya Kami telah memasang belenggu-belenggu di leher-leher mereka, lalu tangan-tangan mereka (mereka angkat) ke dagu, maka mkarena itu mereka bertengadah. Dan Kami adakan di hadapan mereka dinding dan di belakang mereka dinding pula, dan Kami tutup (mata) mereka sehingga mereka tidak dapat melihat.

Menjadi buruklah muka-muka mereka. Dan terhinalah semua muka (mereka) kepada Tuhan Yang Hidup Kekal lagi senantiasa mengurus ( makhluq-Nya ). Dan sesungguhnya telah merugilah orang-orang yang melakukan kedhaliman. Taa Siin Haa Miim ‘Aiin Siin qaaf. Allah melemparkan dua lautan mengalir yang keduanya kemudian bertemu, antara keduanya ada batas yang tidak dilampaui oleh masing-masing lautan.

Haa Miim 7x telah dipasti segala perkara dan telah datang pertolongan, maka atas kami mereka tidak ada yang menolong.

Haa Miim, diturunkan Kitab ini (Al-Qur’an) dari Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui, Yang Mengampuni dosa dan menerima taubat lagi keras hukuman-Nya, Yang mempunyai karunia. Tidak ada Tuhan selain Dia. Hanya kepada Nya lah kembali ( semua makhluk).

“Bismillah” adalah pintu kami, “Tabaaraka” adalah pagar kami, “Yaasiin” adalah atap kami, “Kaaf haa Yaa ‘Ain Shaad adalah yang mencukupi kami dan “Haa Miim ‘Aiin Siin Qaaf” adalah pelindung kami. Maka Allah akan mencukupimu terhadap musuh-musuhmu. Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Tutup ‘Arasy telah terbuka atas atas kami dan perlindungan Allah tertuju kepada kami, dengan daya Allah kami tidak dapat dikuasai. Allah dari belakang mereka (lawan) mengepung. Bahkan yang didustakan mereka itu adalah Al-Qur’an yang mulia, yang tersimpan dalam Lauhil Mahfudh. Maka Allah adalah sebaik-baik penjaga dan Dia adalah Maha Penyayang diantara yang penyayang.

Sesungguhnya yang menolong kami adalah Allah yang menurunkan Al Kitab ( Al-Qur’an) dan Dia lah yang menolong orang-orang yang shalih.

Allah lah yang mencukupi aku, tidak ada Tuhan selain Dia, kepada-Nya aku bertawakal dan Dia lah Tuhan yang menguasai ‘Arasy yang Agung.

Tidak ada daya dan tenaga melainkan dengan pertolongan Allah Yang Maha Agung lagi Maha Tinggi.

Sumber : AnakBukitGantang

Kita Bani Jawi - Bani Melayu Keturunan Nabi Ibrahim

TAJUK BUKU : Dari Mana Kita? Kita Bani Jawi - Bani Melayu Keturunan Nabi Ibrahim AS?

Pengarang: Mohd Sabri @ Mohd Nazri bin Ibrahim.

(Artikel dari Simposium Jati Diri Melayu
"Membina dan Memperkasa
Pemikiran Melayu".

Tempat: Auditorium Jabatan Muzium dan Antikuiti,
Muzium Negara Kuala Lumpur.

Tarikh: 31hb Mei 2003.

ms 7: Bani Jawi

Menurut Ibnu Athir, bangsa Melayu berasal dari Bani Jawi, iaitu keturunan Nabi Ibrahim AS, dengan isterinya Qanturah. (Menurut Kamus Dewan, Jawi bererti Melayu. Huruf Jawi adalah sama bentuk dan juga sebutannya seperti huruf Arab dengan beberapa tambahan huruf untuk disesuaikan dengan loghat lidah Melayu.)

Anak-anak Nabi Ibrahim dengan Qanturah (Bani Jawi) diperintahkan supaya mengembara ke tempat-tempat yang jauh di seluruh dunia. Madan dan Madyan telah mengembara ke suatu negeri yang kemudiannya dinamakan Madyan. Qisan diarahkan pergi ke Makkah dan mengahwini wanita Jurhum, lalu lahirlah al-Barbar. Yang lainnya ke Khurasan dan menjadi pemerintah di sana.


 Keturunan Madyan menjadi penduduk Madyan, di daerah Ma'an di Negeri Syam. Allah AWJ mengutuskan Nabi Syu'aib AS kepada kaum ini. Dengan bermulanya sejarah Nabi Ibrahim AS dari Mosul di bandar Ur Babil/ Babylon (Iraq), ke Kana'an (Palestin), maka bertebaranlah keturunannya dan tersebarlah agama Tauhid Nabi Ibrahim AS ke seluruh dunia.

Manakala yang menuju ke Timur melalui dua jalan:

Satu: Jalan Laut.
Kedua: Jalan Darat.

Penghijrahan melalui jalan laut diketuai oleh Raja Mus dan telah mendarat di Palembang, Sumatera Selatan. Manakala jalan darat melalui Tibet.

Dengan itu, kita dapati sikap pimpinan secara beraja telah diwarisi dan berkembang di sebelah Asia - di India, Tibet, Nepal, Bhutan, Kemboja, Laos, Thailand, China, Jepun (Filipina, Indonesia-Kalimantan, Sulawesi, Pulau Jawa, Sumatera, dahulunya beraja), Brunei, Fiji, Papua New Guinea. Apatah lagi di Semenanjung Tanah Melayu, "Kerajaan Beraja" masih kekal berkuasa dan memerintah dengan Raja Berperlembagaan.


 Di Tibet, Bani Jawi telah menamakan gunung yang tertinggi di dunia dengan nama Himalaya. Dalam bahasa Sanskrit bererti Gunung Melayu. Dari sana, penghijrahan ini bertebaran di kawasan sekitar seperti di Yunan, Vietnam, Laos, Kampuchea, Thailand dan sebahagiannya terus ke selatan sehingga ke Tanah Semenanjung yang juga dinamakan Malaya.

Semenanjung Tanah Melayu di peringkat awal, masa dahulu dan sejarahnya mengikut panggilan bangsa-bangsa di Asia Barat khususnya bangsa Arab ialah Tanah Jawi atau Tanah Bani Jawi, yakni Tanah Melayu.

Satu lagi sudut sejarah mengatakan, lagenda asal usul Melayu berasal dari Bukit Siguntang Mahameru, di Palembang, Sumatera Selatan. Dari punca ini dikatakan bahawa bangsa Melayu berasal dari Kayangan kerana Mahameru itu bermakna tempat tinggal segala dewa.

(Dewa turun dari tempat yang tinggi di luar atmosfera bumi. Ini boleh dikaitkan dengan kedatangan dari tempat tinggi di Banjaran Himalaya hingga ke kawasan Khatulistiwa).


 Sekiranya mahu dikaitkan dengan lagenda Bukit Siguntang Mahameru, Sang Sapurba, Raja Chulan/ Raja Suran, Demang Lebar Daun, Wan Empuk dan Wan Malini, maka kebanyakan pengkaji dan penulis sejarah mengaitkannya dengan cerita-cerita klasik Hindu.

Walaubagaimanapun, dalam realitinya saya beranggapan apabila sesuatu yang datang dari tanah dataran sebelah Utara sama ada dari dataran tinggi Banjaran Himalaya atau dari Tanah Arab dan Asia Barat, ini akan dikaitkan dengan sesuatu yang jauh dan dari tempat tinggi.


Saya berkeyakinan dengan pendapat bahawa keturunan dari Nabi Ibrahim AS dengan isterinya Qanturah, iaitu Raja Mus dan Raja Zulkarnain, adalah lebih awal tamadunnya dan bertapak di Asia Tenggara. Kemudiannya baharulah kedatangan dan pengaruh agama Hindu, Buddha, Islam dan Kristian yang disejarahkan kemudian.

Dengan ini, bererti dan dapatlah difahami bahawa Jati Diri Bani Jawi telah sedia terbentuk dan teguh terhadap Akidah Islam Pengajaran Tauhid Suhuf Nabi Ibrahim yang dibawa, diajar dan diamalkan oleh Nabi Ibrahim Khalilullah (Kekasih Allah), dengan pengakuan dan pengabdian mutlak hanya kepada Allah Yang Maha Esa dan Maha Berkuasa.

Oleh itu, apa juga pengaruh agama lain yang datang kemudian di rantau ini, telah dapat ditangani dengan penuh berhikmah dan bijaksana.

 Biodata Pengarang:

Mohd Sabri @ Mohd Nazri bin Ibrahim ialah bekas guru, pelukis grafik, penerbit siaran ke sekolah-sekolah, penulis skrip drama radio, pelakon pentas, radio dan tv. Pengusaha percetakan. Kini penerbit dan pengusaha kedai buku. Pengalaman dalam pekerjaan, minat membaca dan mendekati para ilmuwan telah membentuk peribadinya peka dengan berjati diri.