Assalamualaikum w.b.t kepada rakan-rakan sekalian,
Lembaran Al Fatihah |
Bersempena dengan bulan Ramadhan yang penuh dengan kemuliaan ini, ingin saya sentuh perihal Surah al Fatihah ini. Kalau kita perasan, dalam sehari pada bulan-bulan selain Ramadhan, kita akan baca surah ini paling kurang pun sebanyak 17 kali sehari.
Namun pada Ramadhan yang barakah ini, berganda-ganda bacaan al Fatihah ini sama ada dalam solat fardhu, tilawah Quran bahkan semasa solat terawih. Hal ini akan menjadi satu kerugian andai kita tidak menghayati bacaan Ummul Kitab ini.
Sebelum saya memulakan penulisan yang seterusnya, ingin saya berkongsi sedikit ilmu yang telah diijazahkan oleh seorang pemandu Van UKM yang pada ketika itu membawa kami pergi dan pulang dari Taylors University. Kata-kata beliau ini pula menjadi satu rahsia mengenai peri pentingnya dan betapa utamanya kedudukan surah ini.
Ini juga merupakan ajaran para sufi. Menurutnya, keseluruhan ayat dalam Kalamullah ini (6236 ayat, bilangan yang mahsyur) tersimpan/ terjaga dalam satu surah iaitu al Fatihah. Surah al Fatihah pula tersimpan rahsianya pada Basmalah dan Basmalah ini disimpan pada huruf Ba dan rahsia Ba itu disimpan pada titiknya.
Oleh itu, ketahuilah dalam Bulan Ramadhan ini, tatkala bacaan Al Fatihah kita berlipat ganda, maka pada ketika itu jugalah Allah menjawab setiap lafaz kita. Dalam sebuah hadis qudsi, Allah berfirman:
"Solat itu aku bagi 2 iaitu antaraKU dan hambaKU. Untuk hambaKU ialah apa yang dimintanya.
Apabila hambaKU mengucapkan: Alhamdulillahi rabbil 'alamin (segala puji tertentu bagi Allah, tuhan yang
memelihara dan mentadbirkan sekalian alam)
AKU menjawab: hamdani 'abdi (hambaku memujiku)
Apabila hambaKU mengucapkan: Arrahmanirrahim (Yang maha pengasih lagi maha penyanyang)
AKU menjawab: 'Atsna alayya 'abdi (hambaku menyanjungiku)
Apabila hambaKU mengucapkan: Maliki yaumiddin (Maha penguasa hari kemudian)
AKU menjawab: Majjadani abdi (hambaku mengagungkanku)
Apabila hambaKU mengucapkan: iyyaka na'budu wa iyyaka nasta'in (kepada engkau kami menyembah dan kepada engkau kami minta pertolongan)
AKU menjawab: Hadza bayni wa bayna abdi, wali abdi wa saala (inilah bahagianku dan bahagian hambaku yg dimintanya)
Apabila hambaKU mengucapkan: Ihdinash siratal mustaqim, siratal ladzina an'amta 'alaihim ghairil maghdubi 'alaihim waladh-dhaalin (pimpinlah kami ke jalan yang lurus, yakni jalan yang tidak engkau murkai dan tidak pula jalan orang yang sesat)
AKU menjawab: Hadza li abdi,wali 'abdi ma saala (inilah bahagian hambaku, untuk apa yang dimintanya)"
Berhentilah sejenak setelah membaca setiap satu ayat. Rasakanlah jawaban indah dari Allah karena Allah sedang menjawab ucapan kita.
Selanjutnya kita ucapkan "Aamiin" dengan ucapan yang lembut, sebab Malaikat pun sedang mengucapkan hal yang sama dengan kita.
Barang siapa yg ucapan “Aamiin-nya” bersamaan dengan para Malaikat, maka Allah akan memberikan Ampunan kepada-Nya.”. (H.R Bukhari, muslim, Abu Dawud dan An-Nas)
Oleh itu, bacalah surah ini dengan penuh khusyuk dan faham. Semoga ianya bermanfaat terutama pada Bulan Ramadhan yang padanya terdapat malam yang lebih baik daripada seribu bulan.
Salam Ramadhan Al Mubarak.
No comments:
Post a Comment