Alkulihal seperti yang telah aku nukilkan sebelum ini perihal trauma yang melanda diri ini semenjak sekian lama dan menghantui diriku ini hingga terbuai di alam mimpi. Aku tidak tahu mengapa harus demikian yang harus aku rasakan walhal bukan itu yang aku dambakan untuk memiliki kehidupan yang sejati.
Alangkah baik aku ceritakan dahulu akan ceritera itu sebelum kita menyingkap lebih jauh agar tiada yang tersalah paterinya sebelum mengungkap seribu satu pandangan yang sempit. Aku menganggap bahawa hidup ini hanya semata-mata mencari redha Allah dan kita ini hambaNya diwajibkan menyembah dan beribadah kepadaNya serta diiringi dengan ilmu.
Selama ini juga sentiasa aku panjatkan permohonan ke hadratMu ya Allah agar solatku, ibadahku, hidup dan matiku hanyalah keranaMu dan segala yang dilintaskan hatiku, diungkapkan kataku dan dizahirkan perbuatanku itu juga dianggap sebagai ibadah. Oleh itu ya Allah aku akan sering merasakan bahawa Engkau sentiasa memerhatiku untuk menilai amalku yang penuh cacat dan celanya.
Arakian itu, aku menganggap dengan bersahabat itu sebagai satu alternatif bagi diri ini untuk beribadah kepadaNya. Maka secara lurus aku mempelajari setiap tatasusila dalam pergaulan dengan kawan-kawan agar perbuatan aku yang disertai ilmu itu akan diterima olehNya.
Aku juga sering menghayati setiap sabda baginda dalam perihal bersahabat agar aku bukanlah orang yang melampaui batas. Seringkali aku terdengar bisikan di telingaku akan satu sabda nabi "Tidaklah sempurna iman seseorang itu sehingga ia mengasihi sahabatnya sebagaimana ia mengasihi dirinya sendiri". Tatkala itu, aku akan cuba melakukan yang terbaik dalam sesuatu ikatan persahabatan yang terjalin erat.
Namun begitu aku sering berwaspada dengan hadis ini agar aku tidak melebihkan sesuatu daripadanya iaitu "Tidak beriman seseorang sehingga ia mencintai aku (Rasulullah) dan Allah melebihi segalanya" Maka aku sentiasa berhati-hati agar aku tidak mengutamakan sahabat aku melibihi Allah dan RasulNya dan tatkala itu jugalah aku tergelincir dari landasan yang lurus itu hingga jatuhnya aku ke lembah hina.
Hinggakan di satu saat, Allah telah mengeratkan persahabatan kami dan aku sungguh bersyukur kepadanya kerana merasakan doaku ini telah diperkenankan Tuhan agar hati kami ini bertemu dan berpisah kerana Allah. Akan tetapi aku tersilap perhitungan kerana dengan persahabatan itu yang aku sangkakan dia boleh meluruskan aku silap sama sekali. Aku semakin lalai dari mendekati Pencipta Yang Maha Mengasihani.
Acap kali aku berfikir, akan kusangkakan ini hadiah dari Tuhan. Rupa-rupanya inilah ujian dariNya yang tidak disangka-sangka. Kami terus hanyut dan sering bergembira dengan kenikmatan duniawi dan Allah terus-meneruskan memudahkan perjalanan kami. Kendatipun begitu, aku akan menerapkan nilai-nilai mulia dalam diri masing-masing walaupun jarang-jarang sekali. Tatkala aku memulakan itu, pastinya akan timbul masalah yang akan menguji keimanan kami.
Hingga ke saat itu, aku sedar dari kehidupan yang fana ini bahawa semua yang telah aku lalui itu hanyalah topeng dunia yang tiada ertinya bagi hidupku. Hinggalah saat itu, hati ini yang aku sangkakan menyayanginya kerana Allah rupa-rupanya aku terpesong. Aku mencintai sahabat itu atas dasar keduniaan semata-mata akan tetapi dirinya yang elok budi-pekertinya itu telah menyilaukan pandangan diriku dari kebenaran yang haq. Maka itu, aku takut untuk memberikan hatiku kepada insan yang bergelar teman lebih-lebih lagi mereka yang mampu menggoncangkan hatiku, kerana aku takut, pisang akan berbuah dua kali.
Oleh sebab itulah aku sering mengatakan bahawa tidaklah aku meminta lebih darimu melainkan tiga perkara iaitu disaat aku melakukan kebaikan, maka bantulah aku. Di waktu aku melakukan kemaksiatan tegurlah aku dan di kala aku lalai dari jalannya maka ingatkanlah aku dan aku tahu hanya mereka ini lah insan yang benar-benar dikurniakan Tuhan kepadaku sebagai sahabat yang salik agar kami memperoleh keredhaan dan syafaatNya ketika manusia tiada mendapat naungan melainkan di bawah lembayungNya.
No comments:
Post a Comment